Sebelum Nak Hamil, Ini Perkara Tentang Kesuburan Yang Wanita Perlu Tahu
Bila bercakap tentang merancang untuk hamil, perkara pertama yang biasanya bermain di fikiran ialah waktu subur, pemakanan, vitamin atau macam-macam ikhtiar untuk mendapatkan zuriat.
Tapi sebenarnya, persediaan sebelum hamil boleh dimulakan lebih awal.
Bukan hanya apabila kita sudah mula mencuba untuk mendapatkan anak.
Kesihatan tubuh, hormon, berat badan, gaya hidup dan juga kesihatan reproduktif kedua-dua pasangan adalah antara perkara yang wajar diberi perhatian sebelum merancang kehamilan.
Baru-baru ini, aku berkesempatan mengikuti What Women Want Forum: Before We Bloom – A Couple’s Guide to Pre-Pregnancy, anjuran Parenthood Media bersama Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) yang berlangsung di MyTOWN, Atria Shopping Gallery.
Forum ini cukup menarik kerana ia membuka ruang untuk wanita dan pasangan mendapatkan informasi yang lebih jelas mengenai kesuburan, kesihatan hormon, persediaan sebelum hamil serta faktor-faktor yang mungkin mempengaruhi peluang untuk hamil.
Kesihatan Sebelum Hamil Pun Penting
Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah tentang pentingnya menjaga kesihatan sebelum kita mula merancang kehamilan.
Kadang-kadang kita rasa, "Nanti bila dah nak cuba pregnant, barulah jaga."
Sebenarnya, mengenali keadaan kesihatan diri lebih awal boleh membantu kita memahami tubuh sendiri dan mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang masalah kesihatan yang mungkin memberi kesan kepada proses kehamilan.
Dalam forum ini, Dr Raymond Lim, Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) dan Dr Lim Sue Wen, Pakar Endokrinologi dari Pantai Hospital Kuala Lumpur turut berkongsi mengenai beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kesuburan.
Antaranya termasuk:
Usia
Kesihatan hormon
Berat badan
Pemakanan
Aktiviti fizikal
Tekanan
Keadaan kesihatan tertentu
Kesihatan reproduktif kedua-dua pasangan
Beberapa keadaan kesihatan seperti polyendocrine metabolic ovarian syndrome (PMOS), endometriosis, masalah tiroid dan diabetes juga boleh memberikan cabaran kepada proses untuk hamil.
Sebab itu, kalau ada sebarang tanda atau masalah kesihatan yang merisaukan, jangan sekadar membuat andaian sendiri.
Dapatkan pemeriksaan dan nasihat daripada doktor supaya kita lebih memahami keadaan tubuh dan pilihan yang tersedia.
Nak Hamil Bukan Tanggungjawab Wanita Sahaja
Ini antara perkara yang saya rasa sangat penting untuk kita bincangkan secara terbuka.
Apabila pasangan mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan zuriat, kadang-kadang wanita yang terlebih dahulu dipersalahkan atau dianggap sebagai punca.
Hakikatnya, kesuburan melibatkan kedua-dua pasangan.
Faktor lelaki juga boleh menyumbang kepada masalah kesuburan. Jadi, sekiranya pasangan mengalami kesukaran untuk hamil, penilaian kesihatan mungkin perlu melibatkan kedua-dua pihak dan bukan wanita sahaja.
Pada masa yang sama, kesihatan dan gaya hidup kedua-dua pasangan juga boleh memainkan peranan. Pemakanan, berat badan, aktiviti fizikal, tekanan dan keadaan perubatan tertentu merupakan antara perkara yang boleh diberi perhatian.
Bila perkara seperti ini dibincangkan secara terbuka, sekurang-kurangnya pasangan boleh mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan membuat keputusan berdasarkan nasihat profesional, bukannya bergantung kepada andaian atau cerita orang lain.
Jumpa Pakar Kesuburan Tak Semestinya Terus IVF
Ini juga antara salah faham yang sering kita dengar.
Ada yang mungkin beranggapan apabila sudah berjumpa pakar kesuburan, langkah seterusnya mesti IVF.
Sebenarnya, konsultasi kesuburan bermula dengan memahami keadaan dan faktor yang mungkin menyebabkan seseorang atau pasangan mengalami kesukaran untuk hamil.
Setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza.
Bergantung kepada penilaian doktor, pilihan yang dicadangkan juga mungkin berbeza. Ia boleh merangkumi perubahan gaya hidup, ubat-ubatan, rawatan bagi masalah kesihatan tertentu atau rawatan kesuburan berbantu seperti IVF sekiranya bersesuaian.
Jadi, mendapatkan konsultasi atau pemeriksaan awal tidak bermaksud seseorang itu mesti terus menjalani IVF.
Sebaliknya, ia boleh menjadi langkah untuk memahami keadaan tubuh sendiri dengan lebih baik dan mengetahui apakah pilihan yang sesuai berdasarkan keadaan individu.
Top 3 pemenang yang menjawab quiz dengan pantas dan tepat
Before We Bloom, Jaga Diri Dari Sekarang ❤️
Bagi saya, antara mesej paling penting yang saya bawa pulang daripada forum Before We Bloom ini ialah persediaan untuk kehamilan bukan hanya bermula apabila kita sudah nampak dua garis pada UPT.
Ia boleh bermula jauh lebih awal — dengan menjaga kesihatan diri sendiri.
Kalau sedang merancang untuk mempunyai anak, mungkin sekarang adalah masa yang sesuai untuk mula memberikan perhatian kepada kesihatan secara menyeluruh.
Jaga pemakanan, kekal aktif, beri perhatian kepada berat badan dan tekanan, fahami kitaran serta kesihatan reproduktif sendiri dan jangan abaikan sebarang masalah kesihatan yang sedia ada.
Dan yang paling penting, jangan takut untuk bertanya.
Kalau ada perkara yang kita tidak pasti mengenai kesuburan atau kesihatan sebelum hamil, berbincanglah dengan doktor dan dapatkan maklumat daripada sumber yang betul.
Setiap pasangan mempunyai perjalanan yang berbeza. Apa yang sesuai untuk seseorang mungkin tidak semestinya sesuai untuk orang lain.
Jadi, daripada membandingkan perjalanan kita dengan orang lain, lebih baik kita kenali tubuh sendiri dan dapatkan pandangan profesional apabila diperlukan.
Before we bloom, let's take care of ourselves first. ❤️
Terima kasih kepada Parenthood Media dan Pantai Hospital Kuala Lumpur kerana membuka ruang untuk perbincangan yang lebih terbuka mengenai kesuburan, kesihatan hormon dan persediaan sebelum hamil.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan pakar di Pantai Hospital Kuala Lumpur, boleh layari laman rasmi Pantai Hospital Kuala Lumpur dan dapatkan nasihat perubatan daripada profesional kesihatan yang berkelayakan.






.jpeg)




.jpeg)



.jpeg)

.jpeg)
.jpeg)






